Kebaikan Dan Keburukan AI Dalam Pendidikan

Guru pada hari ini menghadapi satu cabaran dalam menilai tugasan yang diberikan kepada pelajar kerana terdapat kemudahan seperti AI (Kecerdasan Buatan atau Artificial intelligence). Para pelajar pula perlu bertanggungjawab dan jujur dalam menyelesaikan tugasan tanpa meniru atau menggunakan kemudahan terkini ini. Selaras dengan objektif ujian penulisan karangan Bahasa Melayu, di bawah dikongsikan contoh karangan Kebaikan Dan Keburukan AI Dalam Pendidikan.

Mutakhir ini, teknologi dan sains telah berkembang secara pesat demi menampung kehausan manusia terhadap ciptaan baharu. Salah satu kejayaan yang dikecapi adalah penciptaan teknologi kecerdasan buatan atau dikenali sebagai AI. Sebagai pelajar berminda kelas pertama, kita perlu menyahut cabaran untuk memanfaatkan teknologi ini dalam kehidupan seharian dan mengenal pasti keburukannya. Hanya dengan analisis, perbincangan dan intervensi, kita dapat menyimpulkan kebaikan atau keburukan sesuatu perkara demi kemaslahatan bersama.

Contoh Karangan Kebaikan Dan Keburukan AI Dalam Pendidikan

Contoh Karangan Kepentingan AI Dalam Pendidikan

Ikuti contoh karangan bertajuk Kebaikan Dan Keburukan AI Dalam Pendidikan seperti di bawah. Terdapat tiga isi penting kebaikan AI dalam bidang pendidikan, dan tiga isi penting keburukan AI dalam bidang pendidikan yang saling berkait untuk rujukan semua.

Pendahuluan

Teknologi kecerdasan buatan (Artificial Intelligence atau AI) semakin hari semakin berkembang pesat. Kesannya mula dirasai pada hari ini dalam pelbagai sektor, termasuk bidang pendidikan. AI merujuk kepada keupayaan mesin atau komputer untuk meniru dan melaksanakan tugas yang memerlukan kecerdasan manusia. Contohnya seperti membuat keputusan, menyelesaikan masalah, dan memproses maklumat.

Penggunaan AI dalam pendidikan tidak dapat dinafikan telah memberi banyak manfaat, namun pada masa yang sama terdapat beberapa keburukan yang perlu diambil kira. Justeru, mustahak untuk kita mengupas tentang kebaikan dan keburukan penggunaan AI dalam bidang pendidikan. Bagaimana sebuah ciptaan teknologi ini memberi impak kepada para pelajar, guru, dan sistem pendidikan secara keseluruhan?

Isi 1 – Mempercepatkan proses pembelajaran pelajar

Salah satu kebaikan AI dalam pendidikan adalah ia mampu mempercepatkan proses pembelajaran pelajar. Dengan adanya teknologi AI, pelajar dapat mengakses pelbagai bahan pembelajaran secara lebih pantas dan efisien. Contohnya, platform pembelajaran berasaskan AI seperti Khan Academy dan Coursera menggunakan algoritma untuk menyesuaikan kandungan pembelajaran mengikut tahap dan keperluan individu pelajar.

Ini membolehkan pelajar belajar mengikut rentak mereka sendiri tanpa perlu menunggu rakan sekelas yang lain. Selain itu, AI juga dapat memberikan maklum balas segera terhadap tugasan pelajar, membolehkan mereka memahami kelemahan mereka dengan lebih cepat dan memperbaiki diri tanpa perlu menunggu guru untuk menilai tugasan secara manual.

Isi 2 – Mempertingkatkan keberkesanan pengajaran guru

AI juga boleh membantu mempertingkatkan keberkesanan pengajaran guru. Teknologi AI boleh membantu guru dalam menyediakan bahan pengajaran yang lebih interaktif dan menarik perhatian pelajar. Sebagai contoh, AI boleh digunakan untuk mencipta simulasi dan animasi yang dapat membantu pelajar memahami konsep-konsep abstrak seperti dalam subjek sains dan matematik.

Malah, AI juga boleh digunakan untuk menganalisis prestasi pelajar dan mengenal pasti bidang-bidang yang memerlukan penambahbaikan. Dengan maklumat ini, guru boleh menyesuaikan kaedah pengajaran mereka mengikut keperluan setiap pelajar, menjadikan pengajaran lebih bersifat peribadi dan berkesan. Ini amat berguna terutamanya dalam kelas yang besar di mana sukar bagi guru untuk memberi perhatian secara individu kepada setiap pelajar.

Isi 3 – Membantu pentadbiran sekolah 

Selain daripada aspek pengajaran dan pembelajaran, AI juga memainkan peranan penting dalam pentadbiran sekolah. Sistem berasaskan AI boleh digunakan untuk menguruskan rekod pelajar, menyusun jadual waktu, dan mengawasi kehadiran pelajar dengan lebih efisien. Ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban kerja pentadbiran sekolah, tetapi juga membolehkan sekolah memberi fokus lebih kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan.

Melalui AI, pelbagai data tentang prestasi pelajar, kehadiran, dan tingkah laku dapat dianalisis dengan lebih terperinci. Situasi ini membolehkan pihak sekolah membuat keputusan berdasarkan maklumat yang lebih tepat. Secara langsung, AI membawa kepada pengurusan sekolah yang lebih cekap dan berkesan.

Isi 4 – Menyebabkan kebergantungan pelajar kepada teknologi

Namun begitu, penggunaan AI dalam pendidikan juga mempunyai keburukan tersendiri. Salah satu keburukan utamanya adalah ia boleh menyebabkan kebergantungan pelajar kepada teknologi. Dengan segala kemudahan yang disediakan oleh AI, pelajar mungkin menjadi terlalu bergantung kepada sistem tersebut sehingga kurang berusaha untuk berfikir secara kritikal.

Sebagai contoh, sistem AI yang mampu memberikan jawapan segera kepada soalan-soalan pelajar. Kaedah ini mungkin mengurangkan motivasi pelajar untuk mencari jawapan sendiri atau berdiskusi dengan rakan sekelas dan guru. Hal ini boleh merugikan pelajar dalam jangka masa panjang kerana mereka tidak akan mengembangkan kemahiran pemikiran kritis dan penyelesaian masalah yang diperlukan dalam kehidupan sebenar.

Isi 5 – Menjarakkan hubungan guru dan pelajar

AI  juga boleh menimbulkan cabaran dari segi hubungan guru dan pelajar. Penggunaan teknologi yang berlebihan dalam pendidikan boleh menyebabkan interaksi manusia menjadi semakin berkurangan. Proses pembelajaran bukan sekadar soal menyampaikan ilmu, tetapi juga melibatkan pembangunan sahsiah, emosi, dan nilai-nilai murni dalam diri pelajar.

Pelajar akan kehilangan peluang untuk membina hubungan baik dengan guru dan rakan sekelas kerana ia penting dalam membentuk personaliti dan sikap pelajar. Di samping itu, teknologi AI tidak mampu meniru sepenuhnya aspek empati dan pemahaman emosi yang dimiliki oleh manusia. Maka, walaupun AI boleh membantu dari segi pembelajaran kognitif, ia masih tidak dapat menggantikan peranan guru sepenuhnya dalam membimbing pelajar.

Isi 6 – Risiko keselamatan data dan privasi pelajar.

Walaupun AI dapat membantu dari sudut pentadbiran, ia juga menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan data dan privasi pelajar. Penggunaan AI memerlukan pengumpulan data peribadi pelajar yang melibatkan maklumat seperti prestasi akademik, tingkah laku, dan kehadiran. Sekiranya data ini tidak dikendalikan dengan baik, ia boleh disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Oleh itu, keselamatan dan privasi data perlu diberi perhatian serius apabila menggunakan AI dalam pendidikan. Etika keselamatan data juga perlu dididik dalam kalangan guru serta pelaajr supaya timbul kesedaran terhadap perkara ini. Pihak sekolah dan kerajaan perlu memastikan bahawa terdapat undang-undang dan peraturan yang ketat untuk melindungi data peribadi pelajar daripada dicuri atau dieksploitasi.

Penutup

Kesimpulannya, teknologi AI mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri dalam bidang pendidikan. Oleh itu, penggunaan AI dalam pendidikan perlu diimbangi dengan bijak agar kita dapat memanfaatkan kelebihan teknologi ini tanpa mengabaikan aspek-aspek penting lain dalam proses pembelajaran. Pelajar, guru, dan pihak sekolah perlu bekerjasama untuk memastikan bahawa AI digunakan sebagai alat bantu yang memperkasa pendidikan, bukan sebagai pengganti sepenuhnya kepada peranan manusia dalam sistem pendidikan. Semoga proses adaptasi ini menjadi satu budaya dalam masyarakat kita untuk kekal berdaya saing dengan masyarakat global.

Rel : kecerdasan buatan ai, meningkatkan pengurusan, mengoptimumkan proses, pelbagai manfaat, ai dalam pengurusan, ai untuk meningkatkan, campur tangan manusia, berdasarkan data, menggunakan ai untuk, menganalisis data, penting untuk tujuan, tenaga kerja, mengurangkan kos, algoritma ai,

Tinggalkan Balasan