Karangan Laporan : Lawatan Sambil Belajar (Contoh)

Bilik darjah atau kelas merupakan tempat di mana proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung di sekolah. Namun, kaedah pembelajaran ini dianggap tidak menarik dan membosankan. Oleh itu, pihak sekolah lazimnya mengadakan program seperti lawatan sambil belajar ke tempat bersejarah atau tempat menarik untuk meningkatkan interaktif pelajar terhadap proses pendidikan yang dijalani pada hari persekolahan. Sebagai rujukan, berikut dikongsikan contoh Karangan Laporan : Lawatan Sambil Belajar (Contoh) untuk panduan semua.

Laporan dari segi definisi bermaksud sesuatu yang dilaporkan, maklumat tentang sesuatu keadaan yang dilaporkan seperti masalah atau manfaat yang didapati. Untuk penulisan karangan Bahasa Melayu, laporan terdapat format tertentu yang perlu diikuti oleh pelajar berdasarkan soalan yang diberikan. Pastikan penulisan format tepat supaya anda menjawab soalan dengan betul dan mendapat markah yang cemerlang.

Contoh dan format karangan laporan

Contoh Karangan Laporan : Lawatan Sambil Belajar

Anda boleh merujuk format dan contoh-contoh yang diberikan dan menulis semula karangan berbentuk laporan sebagai latihan tambahan mengikut soalan-soalan yang berkenaan.

Format Karangan Laporan

Untuk makluman pelajar, karangan jenis laporan memerlukan anda untuk melaporkan sesuatu peristiwa yang didengar atau dilihat. Anda sewajarnya memberikan butiran maklumat yang lojik, munasabah serta menggunakan bahasa yang tepat dan mudah difahami.

Sebagai contoh, laporan seperti laporan aktiviti persatuan memerlukan nama ahli, jumlah ahli dan aktiviti yang dilakukan. Pelapor hendaklah berjawatan setiausaha. Manakala laporan lawatan pula perlu melibatkan apa yang dilihat, diperoleh dan faedah lawatan tersebut. Format karangan berbentuk laporan adalah seperti berikut :-

  1. Tajuk Laporan: Ditulis dengan huruf besar pada awal perkataan dan digariskan. Atau tulis semua dengan huruf besar dan ditulis ditengah-tengah. Boleh ditulis dalam dua baris jika tajuk terlalu panjang
  2. Isi Laporan: Terdapat pendahuluan dan diakhiri dengan penutup
  3. Pengakuan Pelapor: Tulis pada sebelah kiri selepas perenggan terakhir karangan
  4. Tarikh: Nyatakan tarikh laporan ditulis di sebelah kanan laporan, setentang dengan pengakuan pelapor
  5. Tandatangan Pelapor: Tandatangan di bawah pengakuan pelapor
  6. Nama Pelapor: Ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan bawah tandatangan
  7. Jawatan Pelapor: Tulis pada bahagian bawah kiri laporan diikuti dengan nama persatuan yang diwakili

Contoh Karangan Laporan : Lawatan Sambil Belajar

Laporan Lawatan Sambil Belajar Ke Pusat Sains Negara

Pada 20 Julai 2023, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Permai telah menganjurkan satu lawatan sambil belajar ke Pusat Sains Negara, Kuala Lumpur. Lawatan ini melibatkan pelajar-pelajar tingkatan empat yang mengambil mata pelajaran Sains.

Lawatan ini bertujuan supaya pelajar dapat menambah ilmu pengetahuan mereka dengan melihat sendiri aplikasi teori yang dipelajari dalam kelas. Pengalaman langsung ini membantu pelajar untuk lebih memahami dan mengingati konsep-konsep sains dengan lebih baik.

Lawatan ini disertai oleh 80 orang pelajar dan 5 orang guru pengiring. Semua peserta telah berkumpul di perkarangan sekolah pada pukul 7.00 pagi dan lawatan berakhir pada pukul 5.00 petang.

Aktiviti pertama dalam lawatan ini adalah melawat pameran sains yang terdapat di Pusat Sains Negara. Di sini, pelajar dapat melihat pelbagai eksperimen dan demonstrasi sains yang berkaitan dengan pelbagai bidang seperti fizik, kimia, biologi dan teknologi. Para pelajar sangat teruja dengan pelbagai peralatan sains yang dipamerkan serta penerangan yang diberikan oleh pegawai pusat.

Setelah melawat pameran, pelajar diberi peluang untuk mendengar ceramah oleh seorang pakar sains yang dijemput khas. Pakar tersebut berkongsi tentang perkembangan terkini dalam bidang sains dan teknologi serta memberikan motivasi kepada pelajar untuk menceburi bidang ini pada masa hadapan.

Selain daripada itu, pelajar turut berpeluang untuk terlibat dalam beberapa aktiviti interaktif seperti membuat eksperimen mudah dan mengambil bahagian dalam kuiz sains. Aktiviti ini bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga memberikan kefahaman yang lebih mendalam tentang konsep-konsep sains.

Secara keseluruhan, lawatan sambil belajar ke Pusat Sains Negara ini adalah satu kejayaan besar. Pelajar mendapat manfaat yang besar daripada lawatan ini melalui penambahan ilmu pengetahuan, pengalaman langsung, serta penglibatan dalam aktiviti interaktif. Adalah diharapkan agar lebih banyak lawatan sambil belajar seperti ini dapat dianjurkan pada masa hadapan untuk terus memupuk minat pelajar terhadap pembelajaran dan bidang sains. Lawatan ini bukan sahaja memberikan pengetahuan tetapi juga membentuk peribadi pelajar yang lebih aktif, bersemangat dan bermotivasi tinggi.

Laporan disediakan oleh,                                                                                                        10 Ogos 2023

FAISAL HALIM

(FAISAL BIN HALIM)
Setiausaha,
Persatuan Sains,
Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Permai

Contoh Kedua

Persatuan Bahasa Melayu di sekolah anda telah mengadakan lawatan ke Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur baru-baru ini. Anda sebagai setiausaha persatuan itu dikehendaki menulis satu laporan lengkap tentang lawatan tersebut.

Laporan Lawatan Sambil Belajar Ke Dewan Bahasa Dan Pustaka

Pada cuti penggal pertama yang lalu, Persatuan Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Jaya telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Sebanyak 38 orang ahli persatuan bersama dua guru penasihat telah menyertai lawatan ini pada hari Sabtu, bersamaan 19 Mei 2023.

Objektif lawatan ini adalah untuk ahli persatuan Bahasa Melayu SMK Ampang Jaya mengenali buku atau produk keluaran DBP dan mengetahui proses penerbitan buku dilaksanakan. Lawatan bermula pada 8 pagi di perkarangan sekolah untuk mendengar taklimat dan nasihat oleh guru sebelum bertolak ke destinasi yang ditujui.

Rombongan kami tiba di Dewan Bahasa dan Pustaka pada jam 10 pagi dan telah disambut oleh Pegawai Perhubungan Awam DBP yang bertugas. Kami ditempatkan di dalam sebuah dewan untuk mendengar taklimat dan sejarah penubuhan DBP serta aktiviti-aktiviti yang akan dilakukan pada hari lawatan tersebut.

Pertama sekali, kami telah melawat ke bahagian pameran buku serta penerbitan hasil daripada DBP. Terdapat banyak buku lama dan baru yang dipamerkan merangkumi pelbagai jenis topik daripada buku agama, politik, ekonomi, ekonomi dan bahasa.

Selepas itu, kami telah dibawa melawat ke bahagian pencetakan. Di sini, kami melihat dengan jelas bagaimana sebuah buku atau majalah dicetak. Setiap peralatan elektronik yang canggih digunakan membantu proses pencetakan lebih pantas dan mudah.

Sebelum pulang, kami berpeluang untuk membeli buku-buku yang dijual oleh DBP untuk dibawa sebagai buah tangan. Sukacitanya kami diberikan potongan harga istimewa oleh pihak DBP untuk berbelanja dan kami bertolak pulang pada pukul 2 petang semula ke sekolah.

Lawatan sambil belajar ini memberikan pelbagai faedah kepada ahli persatuan tentang bagaimana proses sesebuah buku itu dicetak dan cipasarkan. Tahap penghargaan terhadap sebuah buku bertambah. Minat untuk membudayakan pembacaan buku demi menambah ilmiah juga dapat ditingkatkan. Semoga peluang seperti ini dapat dilaksanakan lebih lagi serta melibatkan lebih ramai pelajar.

Laporan disediakan oleh,                                                                                                          25 Mei 2023

AMINAH SIDEK

(AMINAH BINTI SIDEK)
Setiausaha,
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Menengah Kebangsaan Ampang Jaya

Contoh Ketiga

Anda telah menyertai satu perkhemahan yang dianjurkan oleh persatuan unit beruniform anda. Sebagai setiausaha, sediakan satu laporan lengkap berkenaan perkhemahan yang disertai.

Laporan Perkhemahan Unit Beruniform Ke Kem Tasek Utara

Pada 15 hingga 17 Ogos 2023, Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sutera telah mengadakan program perkhemahan unti beruniform di Kem Tasek Utara, Johor Bahru. Pasukan beruniform yang terlibat dalam program ini adalah Persatuan Pengakap, Kadet Remaja Sekolah, Bulan Sabit Merah, Tunas Puteri dan Puteri Islam.

Sejumlah 80 peserta yang terbabit mewakili setiap unti beruniform yang mengambil bahagian di dalam program ini. Kami telah diiringi oleh 18 orang guru penasihat dan menaiki tiga buah bas yang disewa khas ke tapak perkhemahan yang terletak lebih 20 kilometer dari sekolah.

Setibanya di kem tersebut, kami telah dibahagikan kepada 10 kumpulan. Setiap kumpulan diselia oleh dua orang guru pengiring. Peserta telah diberi taklimat terhadap aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan seperti merentas halangan, ikhtiar hidup, keselamatan dalam air, pertolongan cemas serta persembahan dan nyanyian.

Sepanjang program ini, setiap peserta telah menunjukkan semangat kerjasama yang erat seperti aur dengan tebing. Kami telah didedahkan dengan pelbagai pengetahuan yang amat berguna terutamanya dalam aktiviti ikhtiar hidup. Pembelajaran mengenai jenis tumbuhan yang boleh dimakan dan yang mengandungi racun, cara memasaknya dan cara untuk berlindung di dalam hutan sangat memberi manfaat.

“Matlamat program perkhemahan ini berjaya dicapai apabila peserta menunjukkan sifat kepimpinan, keberanian dan kerjasama dalam setiap aktiviti yang dilakukan. Semoga disiplin yang dibentuk ini terus diamalkan dalam diri setiap pelajar sehingga ke alam dewasa kelak.” kata Pengetua SMK Taman Sutera, Encik Azmi bin Aman ketika majlis penutupan program perkhemahan.

Diharapkan program yang memberikan pelbagai manfaat ini dapat diadakan lagi pada tahun hadapan. Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan program ini.

Laporan disediakan oleh,                                                                                                       26 Ogos 2023

DANISH HASSAN

(DANISH BIN HASSAN)
Setiausaha,
Persatuan Pengakap,
Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Sutera

Rel : jumlah ahli dan aktiviti sepanjang tahun, sambutan perasmian atau lawatan ke sesuatu tempat, pengakuan pelapor ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan selepas tandatangan, isi laporan ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan selepas tandatangan, untuk laporan ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan selepas tandatangan, jawatan pelapor ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan selepas tandatangan, penulisan mengikut perkembangan peristiwa yang dahulu didahulukan, tarikh ditulis di sebelah kanan laporan setentang dengan pengakuan pelapor, tajuk laporan ditulis dengan huruf besar di dalam kurungan selepas tandatangan, gunakan bahasa yang ringkas dan padat,

Tinggalkan Balasan