Niat Puasa Hari Arafah 9 Zulhijjah Beserta Doa

Hari Arafah merupakan hari yang kesembilan dalam bulan Zulhijah. Jemaah Haji akan melakukan wukuf di padang Arafah pada ketika itu. Umat Islam digalakkan untuk berpuasa pada hari tersebut kerana terdapat ganjaran yang besar bagi orang yang menunaikannya. Ganjaran yang dimaksudkan ialah pengampunan dosa oleh Allah SWT bagi setahun sebelum dan selepasnya. Bilakah tarikh puasa sunat 9 Zulhijjah di Malaysia? Sebagai panduan berikut dikongsikan Niat Puasa Hari Arafah 9 Zulhijjah beserta bacaan niat dalam rumi. Marilah sama-sama kita berpuasa pada hari yang sungguh mulia ini.

Hari Arafah adalah hari yang kesembilan dalam bulan Zulhijjah. Ianya merupakan salah satu daripada hari-hari yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. yang mempunyai kelebihan-kelebihan yang tertentu dan merupakan hari kemuncak bagi ibadah haji.

Niat puasa Hari Arafah

Lafaz Niat Puasa Hari Arafah 9 Zulhijjah

Disunatkan berpuasa pada tarikh ini bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji dan ianya mempunyai ganjaran yang besar.

“Puasa itu (Puasa Hari Arafah) dapat menebus dosa setahun yang lalu dan akan datang” (HR Muslim).

Berikut adalah lafaz niat puasa Arafah dalam rumi :-

Nawaitu sauma ‘Arafata sunnatan lillahi ta’ala

“Sahaja aku puasa sunat hari Arafah kerana Allah Ta’ala”

(*tiada niat khusus)

niat puasa sunat arafah

Tarikh Puasa Hari Arafah 2024 Di Malaysia

Umat Islam di Malaysia disunatkan berpuasa Sunat Arafah pada 9 Zulhijjah 1445 Hijrah yang jatuh pada hari Ahad, 16 Jun 2024 mengikut kalendar Islam di Malaysia.

Untuk makluman, umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Haji/ Aidiladha pada hari Isnin, 17 Jun 2024 yang merupakan cuti umum/ hari kelepasan am.

amalan bulan zulhijjah

Lafaz Niat Puasa 1 Hingga 7 Zulhijjah

Selain puasa Arafah, umat Islam juga disunatkan berpuasa di bulan Zulhijjah dengan niat puasa zulhijjah seperti berikut :-

Hari 1 hingga 7

  • “Daku berniat puasa bulan Zulhijjah kerana Allah Ta’ala”

Sekiranya puasa sunat ISNIN atau KHAMIS, gabungkanlah dengan berniat :-

  • “Daku berniat puasa bulan Zulhijjah dan Hari Isnin/ Khamis kerana Allah Ta’ala”

Lafaz Niat Puasa Tarwiyah 8 Zulhijjah

Untuk hari ke 8 :

  • “Sahaja aku niat puasa sunat tarwiyah kerana Allah Taala”

niat puasa sunat bulan zulhijjah

Hari Arafah

Ianya  adalah nama salah satu tempat yang semua jemaah haji diwajibkan berwukuf di situ pada hari dan waktu yang telah ditetapkan oleh syariat Islam sebagai salah satu daripada rukun haji. Mengikut apa yang disebut dalam Tafsir Al-Qurtubi, terdapat beberapa pendapat ulama mengenai nama tempat itu sebagai Arafah antaranya ialah :-

  1. Kerana di tempat itulah manusia berkenal-kenalan di antara satu sama lain pada hari wukuf.
  2. Kerana Jibril a.s. telah membawa Nabi Ibrahim a.s. mengelilingi tempat itu, Dan memperlihatkan kepada baginda segala pemandangannya lalu berkata : “Adakah engkau kenal? Adakah engkau kenal?” Nabi Ibrahim pun menjawab, “Saya kenal. Saya kenal.”
  3. Kerana Nabi Adam a.s. dan Siti Hawa ketika diturunkan dari syurga di tempat yang berasingan. Akhirnya mereka bertemu semula dan berkenal-kenalan di antara satu sama lain di tempat itu.

Kelebihan Hari Arafah

Hari Arafah adalah hari yang kesembilan Zulhijjah. Ia merupakan salah satu daripada hari-hari yang dimuliakan oleh Allah s.w.t. yang mempunyai kelebihan-kelebihan yang tertentu. Di antaranya adalah seperti berikut :-

Hari kemuncak bagi ibadah haji

Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud,

  • “Ibadah haji itu (sah dengan berwukuf) di Arafah.”

Ertinya, wukuf di Arafah merupakan satu rukun tertentu dalam ibadah haji, tanpa wukuf haji seseorang itu tidak sah.

Hari Keampunan Segala Dosa

Ia merupakan hari keampunan segala dosa dan kemerdekaan dari api neraka. Serta Allah melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikat dengan ramainya orang yang berwukuf di Arafah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Hari yang Allah s.w.t. memerdekakan paling ramai hambaNya daripada api neraka ialah hari Arafah, dan sesungguhnya rahmat dan anugerah Allah mendekati mereka. Kemudian Allah melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikat dengan ramainya mereka yang berwukuf di Arafah lalu berfirman, “Apakah yang mereka kehendaki? Dalam riwayat yang lain pula Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah taala melahirkan kebanggaanNya kepada para malaikatNya pada waktu petang hari Arafah dengan ramainya ahli Arafah, lantas berfirman, lihatlah kamu kepada hamba-hambaKu yang telah datang kepada Ku dengan keadaan kusut masai, dan berdebu.” (Riwayat Muslim)

Penyempurnaan Agama Oleh Allah

Ia merupakan hari Allah menyempurnakan agama dan mencukupkan nikmat untuk umat Nabi Muhammad s.a.w. dengan menurunkan ayat 3 surah Al-Maidah pada hari Jumaat ketika Rasulullah s.a.w. berada di Arafah, iaitu, “Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah mencukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku reda akan Islam itu menjadi agama untuk kamu.”

Allah Mengambil Perjanjian Setia

Ia merupakan hari Allah mengambil perjanjian setia daripada zuriat Nabi Adam a.s.. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian setia di Arafah daripada zuriat yang berada dalam tulang belakang Nabi Adam, dan mengeluarkan zuriat itu dihadapannya seperti biji-bijian, kemudian Allah berkata kepada mereka dengan firmanNya, “Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab : Benar (Engkaulah Tuhan kami) kami menjadi saksi”, yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak : “Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini.” (Riwayat Ahmad)

Amalan Sunat Hari Arafah

Ayat-ayat dan hadis-hadis tersebut menggambarkan tentang kemuliaan, kelebihan dan keagungan hari Arafah. Sementara amalan-amalan sunat yang dituntut pada hari ini pula antaranya adalah seperti berikut:-

  1. Berpuasa sunat Arafah bagi orang yang tidak mengerjakan haji. Kerana orang yang berpuasa pada hari itu, akan diampunkan dosanya selama dua tahun. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Berpuasa pada hari Arafah, aku berharap bahawa Allah akan mengampunkan dosa pada tahun sebelumnya dan tahun selepasnya.” (Riwayat Muslim)
  2. Menjaga solat secara berjemaah, memperbanyakkan solat sunat dan qiamulail. Kerana semua ini merupakan ibadah-ibadah yang paling afdal bagi mendekatkan diri kepada Allah. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Hendaklah kamu memperbanyakkan sujud kerana sesungguhnya tiap-tiap kali engkau bersujud kepada Allah, Allah akan mengangkatkanmu dengan sujud itu satu darjat dan menghapuskan daripadamu satu kesalahan.” (Riwayat Muslim)
  3. Memperbanyakkan doa dan zikir, kerana sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Sebaik-baik doa ialah doa pada hari Arafah dan sebaik-baik apa yang aku berkata dan juga para nabi sebelum aku ialah –

doa arafah

Oleh itu, perbanyakkanlah doa pada hari itu untuk mendapat keampunan dan kemerdekaan daripada api neraka. Serta memperbanyakkan berzikir dengan zikir yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para nabi sebelum baginda sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas. Selain itu, rebutlah peluang kemuliaan yang ada pada hari Arafah ini dengan memperbanyakkan tahlil, tasbih dan takbir. Ibnu Umar r.a. berkata yang bermaksud, “Kami bersama dengan Rasulullah s.a.w. pada pagi hari Arafah lalu sebahagian dari kami bertakbir dan sebahagian yang lain bertahlil.” Para muslimin juga disunatkan bertakbir tiap-tiap kali selepas solat. Bermula dari solat Subuh hari Arafah 9 Zulhijjah sehingga solat Asar 13 Zulhijjah.

[Petikan Khutbah Jumaat Pusat Islam Sultan Mahmud pada 9 September 2016] Sumber

Semoga perkongsian Niat Puasa Hari Arafah di atas boleh dijadikan panduan buat semua umat Islam. Mari sama-sama kita amalkan amalan sunat ini dengan jayanya.

 

Tinggalkan Balasan