Halatuju Pendidikan Selepas SPM (Sijil Pelajaran Malaysia)

Apakah Destinasi Atau Hala Tuju Pelajar Selepas Mendapat Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Panduan buat pelajar lepasan SPM yang baru sahaja mendapat keputusan peperiksaan (result) SPM mereka. Ke mana destinasi dan halatuju pendidikan selepas SPM? Pemilihan kerjaya pendidikan selepas SPM adalah penting untuk masa depan yang cemerlang dan gemilang agar tidak tersalah langkah. Ramai di antara rakan-rakan pelajar kita yang sebelum ini dah berjaya melanjutkan pelajaran ke dalam bidang pengajian yang diminati.

Selain dari kelayakan serta keputusan cemerlang yang mereka terima, mereka juga cepat mengambil tahu tentang maklumat permohonan kerjaya yang terkini. Mereka dahulu pun sama seperti anda yang sentiasa tertanya-tanya ke mana hendak pergi selepas SPM ini? Kebanyakan pelajar yang berjaya juga sentiasa mengambil tahu peluang dan permohonan kerjaya melalui media massa, buku panduan kerjaya yang terkini, surat khabar dan seumpamanya. Pelajar yang berjaya ialah pelajar yang banyak bertanya tentang status kerjaya dari semasa ke semasa.

Halatuju Pendidikan Selepas SPM

Destinasi Bagi Lepasan SPM

Kebanyakan pelajar lepasan SPM masih tercari-cari destinasi dan hala tuju kerjaya masing-masing selepas SPM. Sukar untuk membuat keputusan terbaik yang bakal menentukan masa depan anda sendiri. Berikut dikongsikan sedikit informasi mengenai pilihan kerjaya atau halatuju pendidikan selepas SPM.

1. Institusi Pendidikan Tinggi Awam (UA)/ IPTS

Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM sudah pasti memilih universiti tempatan dan luar negara sebagai destinasi pengajian mereka selepas SPM nanti. Jika anda ingin ke universiti awam tempatan, anda haruslah memohon kemasukan melalui Permohonan UPU online untuk lepasan SPM/ setaraf.

Pelajar lepasan SPM adalah layak untuk mengemukakan permohonan kemasukan ke UA, Politeknik, Kolej Komuniti dan ILKA berdasarkan kelayakan dan minat iaitu Program Asasi/ Diploma Di UA/ Politeknik Dan Sijil/ Diploma Di Kolej Komuniti dan ILKA. Pelajar seterusnya boleh menyambung pengajian tinggi mereka ke peringkat Ijazah.Universiti Awam, IPTA, Politeknik, Kolej Universiti selepas menamatkan program Asasi dan Diploma.

Menyambung pengajian ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) juga menjadi pilihan terbaik buat lepasan SPM termasuklan ke IPTS terkenal seperti Universiti Teknologi Petronas, Uniten, MSU, UniKL MMU dan sebagainya.

2. Program Matrikulasi KPM : Halatuju Pendidikan Selepas SPM

Sekiranya anda tidak berjaya mendapat tempat dalam program Asasi melalui UPU, janganlah bersedih. Pelajar masih boleh menyambung pengajian asas di kolej-kolej matrikulasi dalam bidang Sains Hayat, Sains Fizikal atau Perakaunan. Sama saja dengan program asasi.

halatuju pendidikan selepas spm
Selepas habis program matrikulasi, anda boleh membuat permohonan UPUonline lagi untuk lepasan STPM/ setaraf di mana anda akan boleh memilih kursus pengajian ke Program Ijazah Sarjana Muda Di UA Dan Politeknik Premier. Matrikulasi ada yang programnya setahun dan ada yang dua tahun bergantung kepada keputusan SPM anda. Ramai pelajar-pelajar dari program matrikulasi yang memperolehi keputusan cemerlang dalam pelajaran mereka.

Mereka juga boleh memohon jawatan di sektor kerajaan/ perkhidmatan awam menggunakan sijil Matrikulasi bagi Gred 29.

3. Pengajian Luar Negara

Pelajar-pelajar yang mendapat penajaan biasiswa bolehn melanjutkan pelajaran tinggi mereka di luar negara. UK, USA, Australia, New Zealand, Indonesia, India, Japan, Korea, France, Egypt, Russia, Ireland dan Canada antara negara-negara yang menjadi pilihan bagi pelajar-pelajar Malaysia.

Pelajar juga berpeluang melanjutkan pengajian ke universiti di Timur Tengah (Jordan dan Mesir).

4. Belajar Di Politeknik : Halatuju Pendidikan Selepas SPM

Jangan mudah berputus asa sekiranya anda gagal ke UA dan Program Matrikulasi. Anda masih boleh melanjutkan pelajaran ke Politeknik Konvensional/ Metro di seluruh Malaysia samada melalui permohonan UPU online atau Portal Pengambilan Pelajar Politeknik yang bergantung kepada sesi kemasukan. Di Politeknik, anda boleh memohon Program di peringkat sijil atau diploma.

5. Institusi Pendidikan MARA (iPMA) Di Bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA)

Menawarkan program-program pengajian seperti :-

  • Program Pengajian Persediaan
  • Pra-Diploma
  • Diploma
  • Higher National Diploma
  • Ijazah Pertama

Senarai IPMa dan kursus pengajian yang ditawarkan adalah :-

6. Program Teknikal Dan Latihan Kemahiran

Menyambung pengajian di program Teknikal dan Latihan Kemahiran adalah pilihan terbaik buat pelajar yang berminat dengan bidang kemahiran. Banyak juga program Diploma dan Sijil yang ada ditawarkan di Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) yang terdapat di Malaysia. Diantara ILKA adalah seperti berikut :-

i) Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) : Halatuju Pendidikan Selepas SPM

Menawarkan latihan amali serta praktikal bagi menyediakan golongan belia dengan kemahiran-kemahiran yang diperlukan untuk terus menyertai kerjaya terpilih setelah tamat pengajian.

ILKBS dibahagikan kepada IKBN, IKTBN dan AKBG dan menawarkan :-

  • Kursus kemahiran sepenuh masa di Institut Kemahiran Belia Negara (IKTBN/IKBN)
  • Kursus Bina Insan (kepimpinan, keusahawanan, disiplin) kepada belia
  • Kemahiran Jangka Pendek khas yang disesuaikan kepada belia
  • Kursus Kemahiran di institusi swasta (program tajaan pelatih)

Senarai ILKBS dan kursus yang ditawarkan adalah seperti berikut :-

ii) Institusi Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM)

JTM diwujudkan untuk melahirkan tenaga mahir negara dari peringkat sijil latihan hinggalah Diploma Lanjutan dalam pelbagai bidang kursus kemahiran. Senarai ILJTM dan kursus yang ditawarkan boleh dirujuk di pautan berikut :-

iii) TVET MARA

Objektif institusi kemahiran di bawah MARA adalah :-

  • Membangun dan melaksanakan Program Pendidikan Teknikal dan Vokasional yang berkualiti serta diiktiraf ke arah menyediakan kerjaya berpendapatan tinggi
  • Menambah bilangan penglibatan bumiputera dalam pelbagai bidang teknikal di industri
  • Menyediakan kemudahan latihan dan infrastruktur yang selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa
  • Meningkatkan kompetensi pengajar bagi memenuhi keperluan i-pengajar
  • Melahirkan potential technopreneur yang berdaya saing dan berdaya tahan
  • Menyediakan peluang pembelajaran sepanjang hayat

Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM), MARA Japan Industrial Institute (MJII) dan Institusi Kemahiran MARA (IKM) merupakan sebuah institusi TVET di bawah MARA yang terunggul di Malaysia. Entiti institusi TVET MARA ini terletak di bawah pemantauan dan seliaan Bahagian Kemahiran dan Teknikal (BKT) MARA.

Senarai IPMa dan kursus pengajian yang ditawarkan adalah :-

iv) Bahagian Latihan Kemahiran Pertanian (BLKP)

Program yang dijalankan adalah berteraskan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (SPKP) atau Nasional Occupational Skills Standard (NOSS) yang menyampaikan latihan berasaskan kompetensi kemahiran dan memfokuskan kepada latihan amali, projek serta simulasi. Persijilan PLKPK adalah ditauliahkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia.

Persijilan

  • Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1
  • Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 2
  • Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3
  • Diploma Kemahiran Malaysia Tahap 4

Tempoh Latihan

  • Tahap 1 (Sijil) – 6 bulan (600 jam)
  • Tahap 2 (Sijil) – 6 bulan (600 jam)
  • Tahap 3 (Sijil) – 12 – 24 bulan (1,200 – 2,400 jam)
  • Tahap 4 (Diploma) – 12 bulan (1,200 jam) + 3 bulan Latihan Industri (LI)

Untuk memohon sila klik pautan berikut :-

7. Menyambung Pengajian Di Universiti/ Kolej Swasta (IPTS)

Ada banyak iklan-iklan kolej swasta di surat khabar utama di Malaysia. Tapi kena pandai pilihlah kolej mana yang bagus dan sesuai. Kalau anda mahu teruskan pengajian ke kolej, anda boleh masuk kolej-kolej yang telah terbukti keunggulannya dan paling penting diiktiraf MQA. Ada juga kolej yang menawarkan program diploma bersekutu dengan UA di Malaysia.

8. Kolej Komuniti

Terdapat 4 program pengajian yang ada ditawarkan di Kolej Komuniti iaitu:

  • Sijil Kolej Komuniti (T)
  • Diploma Kolej Komuniti (DKK)
  • Sijil Kolej Komuniti (M)
  • Sijil Kolej Komuniti (P)

Kursus pendek juga ada ditawarkan di bawah Pembelajaran Sepanjang Hayat. Tiga sesi kemasukan untuk permohonan menjadi pelajar sepenuh masa Kolej Komuniti adalah sesi kemasukan Mac, Julai dan November.

9. Tingkatan 6 (Form 6) : STPM/ STAM

Ramai pelajar-pelajar lepasan SPM menjadikan tingkatan 6 sebagai destinasi terakhir mereka selepas SPM. Kenapa tingkatan 6 kurang popular? Tapi sedar tak sedar, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga berharga sebenarnya. Kalau memohon UPU untuk kategori STPM/ setaraf, pelajar-pelajar lepasan STPM diberi keutamaan dulu berbanding pelajar-pelajar lepasan diploma dan matrikulasi.

10. Institut Pendidikan Guru (IPG) Dahulunya Maktab Perguruan

Untuk mereka yang berminat menceburi bidang perguruan untuk menajdi guru atau cikgu, bolehlah memohon kerjaya ini. Kerjaya ini sememangnya menjanjikan kepuasan kerana kita dapat berbakti kepada anak bangsa sendiri kelak. Walaupun agak mencabar serta bebanan tugas yang bakal ditempuhi, perkara ini umpama seperti alah bisa tegal biasa. Jadi bekerjalah dalam mendidik anak bangsa sehingga berjaya dan berguna untuk masyarakat dan negara kelak.

Permohonan IPG iaitu Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) boleh dipohon melalui permohonan UPUonline bermula tahun 2020.

11. Kursus Ketenteraan (UPNM)

Pelajar yang berminat dengan aktiviti lasak serta tahan dengan cabaran dan dugaan fizikal yang tinggi, bolehlah membuat permohonan pengajian ke UPNM. Permohonan untuk ke Program Asasi Pertahanan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia adalah terbuka kepada semua pemohon Lepasan SPM/setaraf. Pemohon akan mengikuti pengajian di peringkat Asasi Pertahanan selama setahun di UPNM dan seterusnya meneruskan pengajian di peringkat Sarjana Muda di UPNM.

Program Asasi dikategorikan setaraf dengan Program Matrikulasi. Untuk permohonan ke Program Asasi Pertahanan atau Program Pengajian peringkat Diploma (Lepasan SPM/ Setaraf) calon perlu membuat pilihan pertama dalam sistem UPU dengan menggunakan kod program seperti berikut:

  • i) Asasi Perubatan (Z0080)
  • ii) Asasi Pengurusan dan Strategi (Z0220)
  • iii) Asasi Kejuruteraan dan Teknologi (Z0470)
  • iv) Diploma Pentadbiran Perniagaan (Z2229)
  • v) Diploma Pengurusan Logistik (Z2280)
  • vi) Diploma Ketangkasan Pertahanan (Z2038)

Calon-calon perlu mengemukakan permohonan secara dalam talian (online) melalui Permohonan UPUonline pada awal Februari setiap tahun.

12. Akademi Laut Malaysia (ALAM)

Kepada yang berminat untuk melibatkan diri dengan dunia pekerjaan laut yang mencabar, bolehlah mohon kemasukan ke Akademi Laut Malaysia (ALAM). Program pengajian yang ditawarkan adalah Diploma Pengajian Nautika dan Diploma Kejuruteraan Marin. Permohonan dibuka sekitar bulan Mac setiap tahun.

13. Permohonan Diploma Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM)

Program pengajian yang ada ditawarkan untuk kemasukan ke PPUM adalah Program Diploma Kejururawatan, Diploma Radiografi dan Diploma Teknologi Makmal Perubatan. Permohonan kemasukan dibuka sekitar bulan Mac setiap tahun.

14. Kursus Penerbangan (Aviation)

Mesti ramai yang berminat dengan kursus ini. Kursus ini merangkumi kerjaya seperti juruterbang, pramugara, pramugari dan ahli-ahli biasa di kawasan lapangan penerbangan. Kerjaya seperti juruterbang, pramugara dan pramugari ini lebih kepada di awangan biru manakala ahli biasa lebih kepada proses teknikal di kawasan lapangan penerbangan.

Untuk mereka yang berminat dengan permohonan Kadet Juruterbang AirAsia (Cadet Pilot), anda boleh merujuk kepada panduan permohonan Kadet Juruterbang AirAsia.

15. Latihan Separa Perubatan

Latihan Separa Perubatan merupakan satu program yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pelajar lepasan SPM yang berusia daripada 17 tahun hingga 25 tahun. Terdapat sebanyak 13 latihan ditawarkan untuk program Latihan Separa Perubatan Bertaraf Diploma dan Sijil bagi tahun 2018.

Tempoh pengajian Kursus Separa Perubatan adalah selama 3 tahun bagi program Diploma manakala peringkat Sijil pula mengambil masa selama 2 tahun sahaja. Pelatih akan menerima elaun setiap bulan dan disediakan kemudahan-kemudahan yang kondusif di beberapa Pusat Kolej Kesihatan seluruh Malaysia. Selepas tamat pengajian, pelatih Separa Perubatan akan menjalani ujian untuk kemasukan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.

16. Lathan Kemahiran Di GIATMARA

Terdapat dua pilihan program di GIATMARA iaitu Sepenuh Masa dan Separuh Masa. Pelajar bumiputera yang berumur 15 tahun ke atas samada lepasan SPM atau bukan dengan syarat mereka boleh membaca, menulis dan minat adalah layak untuk memohon.

Kepada yang memenuhi syarat kelayakan dan mempunyai tubuh badan yang sihat bolehlah membuat permohonan GIATMARA untuk menyertai program latihan sepenuh atau separuh masa di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) di GIATMARA Malaysia bagi kemasukan Januari dan Julai.

17. Permohonan Diploma Jururawat USM

Khas buat lepasan SPM yang berminat menjadi jururawat atau nurse. Pengambilan dibuat sekitar bulan Februari. Maklumat lanjut, sila rujuk Permohonan USM Kejururawatan.

18. Kolej UNIKOP

Kolej UNIKOP adalah Institut Pengajian Tinggi (IPT) milik Koperasi Polis Diraja Malaysia. Permohonan dibuka untuk lepasan SPM mengikuti Program Diploma seperti berikut :-

  • Diploma Kepolisan Dan Penyiasatan
  • Diploma Perakaunan
  • Diploma Perkhidmatan Penyiasatan
  • Diploma Teknologi Maklumat (Aplikasi Perniagaan)
  • Diploma Pengurusan Perniagaan
  • Diploma Pentadbiran Pejabat

19. Memohon Pekerjaan Di Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)

Mereka yang ingin terus bekerja, boleh membuat pendaftaran pekerjaan di SPA9 dan memilih jawatan-jawatan berkelayakan SPM.

20. International Baccalaureate (IB)

IB Diploma Programme (DP) ditawarkan kepada pelajar yang berumur 16 sehingga 19 tahun. Antara institusi yang menawarakan adalah :-

  • Kolej Tunku Kurshiah (TKC)
  • Kolej MARA Banting
  • Royal Militiary College

Pelajar boleh memilih subjek berdasarkan kumpulan subjek seperti Bahasa dan Linguistik, Sains, Matematik, Seni

Lepasan IB diterima diseluruh dunia anataranya di AMerika Syarikat, UK, Kanada dan Australia.

21. A-LEVEL

Lepasan A-Level diterima di lebih 160 negara dan juga diterima di IPTA di Malaysia. Antara institusi yang menawarkan program ini adalah :-

  • Sunway College, KL
  • German Malaysian Institute (GMI)
  • TAR College

Tempoh pengajian adalah setahun setengah hingga dua tahun. Terdapat 2 tahap iaitu Advanced Subsidiary (AS) dan Advanced Two (A2), di mana masing-masing memberikan 50% untuk markah akhir.

22. KPJ Healthcare University College

Maklumat lanjut, sila rujuk KPJUC

Kesimpulan Halatuju Pendidikan Selepas SPM

Sebagai kesimpulan, apa yang telah dikongsikan adalah beberapa destinasi atau halatuju pendidikan selepas SPM yang pelajar Lepasan SPM boleh pilih untuk meneruskan pengajian. Ada banyak lagi sebenarnya tetapi ini pun sudah mencukupi untuk merangkumkan segalanya.

Akhir kata, disamping pelajar-pelajar berusaha membuat perbandingan tentang kursus pengajian yang ingin dipilih, ayuh amalkan juga solat istikharah serta sentiasa banyakkan berdoa semoga Allah memberikan ilham untuk kita membuat keputusan terbaik yang diharapkan dapat membawa kebaikan kepada kehidupan kita di dunia idan juga di akhirat kelak.

Tinggalkan Balasan